Jalan Bellamy, Kuala Lumpur - 15 April 2008 adalah tarikh keramat bagi Cawangan Akademi Kenegaraan (AK), Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri kerana telah selamat berpindah ke bangunan baru yang berjiran dengan pejabat BTN Wilayah Persekutuan. Proses perpindahan berjalan dengan lancar tanpa sebarang rintangan dan kelewatan.
Perpindahan Cawangan Akademi Kenegaraan ke bangunan baru ini bukan sahaja memapar satu episod proses berganti lokasi operasinya, tetapi hal yang lebih penting ialah tumpuan gerak kerja cawangan ini yang kian berkembang. Peranan AK melahirkan kader BTN akan lebih tersusun, efektif dan modus operandinya akan lebih menyeluruh.

Tanggungjawab memastikan Cawangan AK sentiasa bergerak di landasan yang betul merupakan satu hal yang sangat penting. Justeru, Y.Bhg. Dato’ Shagul Hamid bin Abdullah selaku Ketua Pengarah BTN melihat Cawangan AK perlu segera berada di lokasinya sendiri di luar ibu pejabat BTN di Putrajaya. Beliau cukup yakin bahawa paradigma pemikiran pegawai dan kakitangan cawangan ini pastinya turut berubah dengan berubahnya suasana persekitaran kerja mereka.
Cawangan AK dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Dr. Idris bin Md. Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Latihan). Tuan Hj. Hanafi bin Harun, selaku Pengarah Cawangan mempunyai yang peranan besar dalam melaksanakan cita-cita dan harapan seluruh warga BTN.