Kadar pengguna: 0 / 5

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
 

PUTRAJAYA 21 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menekankan kepada kepentingan pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman bagi menjadikan negara kembali dihormati di persada dunia.

Perdana Menteri berkata, penjawat awam harus sedar pentadbiran negara yang dahulu dianggap terbaik dalam kalangan negara Komanwel kini sudah tidak lagi mendapat penghormatan seperti dahulu.

Menurut beliau, hanya menerusi pemisahan kuasa antara pembuat undang-undang, badan pentadbiran dan sistem kehakiman, negara dapat mengatasi penyelewengan kerana undang-undang dapat dipatuhi sepenuhnya tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Dalam beberapa tahun lepas pentadbiran tidak mempunyai kuasa untuk menegur dan menentang apabila disuruh melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang. Kita dapati ramai anggota pentadbir mungkin kerana takut, mungkin disogok, melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik dan merugikan negara.

“Kita dapati kewangan negara umpamanya sudah dicabul de­ngan begitu besar sehingga sekarang kita menghadapi masalah penyelesaian hutang yang sudah meningkat kepada trilion ringgit. Ini tidak pernah dilakukan dahulu, kalau ada hutangpun tidak lebih RM300 bilion, tetapi sekarang sudah meningkat lebih RM1 trilion.

“Bagaimana kita selesaikan? Ini bergantung kepada usaha dan daya fikir kita. Untuk mengatasi cabaran ini kita perlu kerjasama antara pihak menjadi kerajaan, daripada wakil rakyat dipilih rakyat dan juga anggota pentadbiran,” katanya ketika berucap dalam majlis pertemuan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ketua Setiasaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hadir sama dalam perjumpaan itu yang merupakan perjumpaan pertama Dr. Mahathir bersama penjawat awam sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lalu.

Menurut Dr. Mahathir, dalam sistem demokrasi, undang-undang bukan untuk memberi kuasa kepada kerajaan semata-mata tetapi juga berfungsi untuk melindungi rakyat daripada jenayah yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan sendiri.

“Pentadbir tidak harus me­lakukan apa-apa yang bertentangan dengan undang-undang walaupun diarah oleh pihak yang menjadi kerajaan sekarang. Perpisahan kuasa antara kita perlu dikekalkan dan hanya dengan cara itu sahaja barulah kita boleh menentukan tiada penyelewe­ngan dalam pentadbiran negara kita,” katanya.

Kata beliau, pentadbiran yang cekap, efisien, maju dan terdiri daripada pegawai-pegawai yang amanah adalah diperlukan untuk mengatasi pelbagai masalah negara terutama masalah kewa­ngan.

“Saya bersyukur kerana tidak hadapi banyak sangat masalah tentang kerjasama daripada pe­gawai-pegawai sedia ada tetapi kita harus ingat yang salah tetap salah, sebarang perbuatan yang salah mestilah diuruskan mengikut undang-undang negara,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

 

 

Biro Tatanegara
Jabatan Perdana Menteri
Aras 1, Blok B3,
Kompleks Jabatan Perdana Menteri
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA
T 03–8000 8000 : F 03-8888 3458 : E upai at btn.gov.my 

Tarikh Kemaskini : 18  Mei 2018

 

Go to top